Ilmu, ilmu, ilmu...

Bismillah…

“Eh, Mat (bukan nama sebenar) sekarang amek course ape?” Tanye seorang mak cik kat kawan saya.

“Ha? Err.. Saya amek engineering mak cik. Kolej biase2 je. Kenape mak cik?” Kawan saya bertanya balik.

“Takdelah. Kan kamu dulu aliran sekolah arab, mak cik rase lagi elok Mat amek bidang agama. Ni kamu amek bidang engineering, dah lari benor daripada bidang agama kamu tu.” Jawab mak cik tu dengan lancar sekali.

Hurm… Berapa ramai agak2 yang setuju dengan pendapat mak cik tadi? Kadang-kadang bila sekali dengar kata-kata mak cik tu, timbul jugak dalam hati tentang kebenaran pendapat beliau. Yelah, kalau elok dah ambik bidang tu daripada sekolah rendah lagi, sebaiknya kita teruskan dalam aliran tu je. Tapi… bila dua kali dengar, rase macam tak betul pulak pendapat mak cik tu. Tambah-tambah yang saya nak highlightkan adalah ayat Ni kamu amek engineering, dah lari benor daripada bidang agama kamu tu.” Erm… Yeke? Kita dapat lihat mak cik tu seolah-olah kata bahawa engineering ni bukan bidang agama. Betul ke?

Nampaknya, ramai orang pada zaman sekarang dah mula berfikiran bahawa kehidupan beragama adalah sesuatu yang sempit. Yang dianggap bidang agama hanyalah seperti Syariah, Quran dan Sunnah, Bahasa Arab, Dakwah dan lain-lain sedangkan yang mengambil bidang-bidang di dalam aliran sains seperti Perubatan, Engineering dianggap bukan agama. Dan orang-orang yang mengambil bidang sains ini biasanya akan dianggap sebagai kelompok yang kurang arif tentang perkara agama. Hmm.. Satu pendapat yang cukup tak rasional. Tak patut betul la sape yang cakap macam tu. Siapa cakap bidang engineering dan sains ni bukan bidang agama? Adakah mereka ingin menafikan bahawa Al-Biruni, Al-Khawarizmi, Ibn Khaldun dan Ibn Sina adalah merupakan antara tokoh-tokoh Islam yang cukup terkenal pada masa dahulu? Sedangkan dengan usaha yang dilakukan oleh mereka inilah, maka Islam dapat tersebar dengan meluas sehingga meliputi benua-benua besar seperti Eropah, Asia Tenggara dan Afrika berdasarkan penemuan2 yang baru dan hebat oleh mereka berdasarkan Al-Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W..

Firman Allah S.W.T. yang mafhumnya :

Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah memenuhkan didalamnya bagi kamu nikmat-nikmat Aku, dan Aku telah redha bagi kamu ISLAM sebagai ad-Din (cara hidup) kamu…”

Baiklah. Saya bagi contoh kronologi yang cukup mudah. Andaikan bahawa kita ini seorang pendakwah ataupun seorang ustaz, dan kita ingin menyeru pemuda-pemuda yang sedang lepak-lepak di tepi jalan untuk sama-sama berjemaah di masjid. Tapi sebelum tu cuba kita fikir dulu, agak-agaknya siapa yang nak membina masjid tersebut? Siapa yang mengerahkan akal fikirannya untuk membuatkan supaya air boleh mengalir daripada paip-paip yang disediakan dan orang ramai boleh berwudhu’ dengannya? Siapa pulak yang mencipta pembesar suara supaya suara-suara bilal yang melaungkan azan mampu didengari ke seluruh kawasan? Siapa lagi kalau bukan golongan engineering dan saintis inilah yang telah melakukan semua itu. Ya, kita mungkin mampu mengajak pemuda-pemuda tersebut untuk berjemaah. Walaupun kalau tak semua pemuda yang ikut, seorang pun jadi lah. Namun bila difikirkan balik, yang sebenarnya membolehkan seluruh umat Islam berkumpul di dalam satu kawasan, satu binaan yang besar dan kukuh adalah jurutera-jurutera tersebut dan bukanlah kita sebagai pendakwah ini. Kalaulah tiada mereka ni, saya rasa sia-sialah kita ajak pemuda tersebut untuk berjemaah. Yalah, nak berjemaah kat mana, masjid pun tak ada. Tak begitu? So, anda masih rasa bidang engineering bukan bidang agama? Anda renungkanlah sendiri.

tetapkanlah hatiku atas AGAMAMU...

…………………………………………..

Cuba kita bayangkan bagaimana keterangan-keterangan di dalam al-Quran akan mampu dibuktikan kebenarannya kalau tiadanya golongan saintis? Penerangan tentang kejadian manusia daripada air mani lelaki dan perempuan dan kedudukannya didalam rahim selama 9 bulan, pergerakan bumi dan segala planet yang akan tetap bergerak di atas paksinya dan tidak akan berganjak walau satu millimeter ke kiri mahupun ke kanan, penceritaan tentang turunnya air hujan daripada kelompok awan yang bergabung dan sebagainya yang terdapat di dalam al-Quran selama lebih 1400 tahun dahulu hanya mampu dibuktikan kesahihannya menurut kemampuan akal manusia oleh para saintis inilah. Jika tiadanya saintis, maka Islam sudah pasti lebih sukar untuk menyebarkan ajarannya kepada seluruh manusia pada masa sekarang yang mana kita sendiri tahu bahawa manusia lebih suka menggunakan akal logik fikiran mereka dalam menimbang sesuatu perkara. Dengan sains lah kita mampu menguatkan lagi akidah kita kepada Allah. So, inikah ilmu sains yang anda katakan bukan ilmu agama? Saya harap anda fikirkan balik.

Tapi sayang seribu kali sayang, pemikiran masyarakat pada hari ini seolah-olah mereka telah mengasingkan antara agama dan cara hidup mereka. Yang dikira agama hanyalah kitab-kitab di dalam bahasa Arab ataupun perkara-perkara yang berkaitan dengan ibadat. Manakala selebihnya dianggap sebagai bukan perkara agama. Begitu? Amboi, sempitnya agama ni. Sedangkan pada hakikatnya Islam itu adalah syumul, sempurna dan meliputi keseluruhan cara hidup manusia. Daripada sebesar-besar perkara seperti mentauhidkan Allah sehinggalah kepada sekecil-kecil perkara seperti doa masuk tandas sekalipun, kesemuanya merupakan agama yang telah diajar oleh Rasulullah S.A.W. kepada umatnya.

Contoh lain saya berikan, masyarakat sekarang saya lihat seolah-olah menganggap politik dan agama adalah sesuatu yang berlainan. Sedangkan kita tahu bahawa Rasulullah S.A.W. sendiri berpolitik. Di mana Rasulullah merupakan orang pertama yang mewujudkan piagam ataupun perlembagaan bagi kota Madinah. Berbanding dengan kota-kota besar yang lain seperti Rom dan Kaisar yang hanya berpandukan kuasa pemerintah semata-mata. Dan apabila kita lihat balik, alhamdulillah syukur, kerana negara Malaysia kita juga telah mencontohi tindakan Rasulullah itu dengan membuat perlembagaan persekutuan Malaysia. Takpelah, baguslah begitu.

Cuma apa yang tidak bagusnya adalah pemisahan antara agama dan politik itu sendiri. Membaca kitab tafsir didalam dewan DUN dianggap seperti pengajian pondok, dan pemakaian tudung pula diringan-ringankan. Lesen judi dan arak pula diperluaskan. Yelah. Supaya rakyat Malaysia kita yang majmuk ini dapat bersatu! Kita lihat, pemisahan agama dan politik ini dibuat dengan alasan rakyat di negara kita hidup dalam masyarakat majmuk. Kononnya susah nak bersatu kalau digabungkan dengan agama. Padahal kalau kita lihat pada zaman Rasulullah S.A.W. sendiri sudah wujud masyarakat majmuk yang mengumpulkan kaum yahudi dan nasrani bersama Islam. Namun bagaimana Rasulullah pada ketika itu boleh pulak menyatupadukan keseluruhan masyarakat majmuk dengan cemerlang sekali tetapi kita pada masa sekarang tiba-tiba kata tidak boleh pulak? Boleh dikatakan agak kurang ajar kalau kita tiru cara baginda dalam membuat perlembagaan sedangkan cara berpolitik yang diajarnya kita tinggalkan ke tepi. Padahal dalam diam kita mahu mengaku pulak sebagai umat baginda. Tak patut sungguh.

Seorang muslim yang asli pasti tak akan mengasingkan agama dengan cara hidup mereka. Mereka akan menganggap bahawa hidup mereka itu sendiri adalah agama. Tidak kisahlah mereka di dalam bidang engineering, undang-undang, saintis, dan sebagainya, mereka akan berusaha untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada bagi menaikkan nama Islam di persada dunia. Seorang sahabat Rasulullah bernama Abdul Rahman bin Auf mempunyai bakat dalam bidang perniagaan, lalu Rasulullah terus melatih beliau di dalam bidang tersebut sehingga akhirnya mampu memberi pulangan kepada Islam. Khalid ibnu Walid seorang panglima perang Islam yang sangat disegani dalam menyebarkan ajaran Islam ke seluruh dunia sedangkan jika kita lihat ilmu beliau tentang Islam tidaklah setanding Abu Bakar As-Siddiq. Dan ramai lagi sahabat-sahabat Rasulullah yang telah membuktikan bahawa bidang-bidang inilah yang sebenarnya mampu mengukuhkan akar agama Islam itu sendiri.

Pendek kata, tuntutlah ilmu sebanyak yang mungkin. Tidak kiralah samada dalam bidang-bidang syariah, fiqh, hadis ataupun bidang sebaliknya. Sedarlah, kita takkan mampu menguasai kesemua ilmu yang ada. Jadi kita perlu membahagi-bahagikan tugas dan bidang ini sesama kita kerana semua bidang sudah pasti ada peranannya masing-masing dalam Islam. Jangan menganggap Islam adalah sesuatu yang sempit dan hanya berkaitan dengan ibadat semata-mata. Agama adalah cara hidup dan cara hidup adalah agama. Cuma yang berbaki adalah sama ada kita mahu memanfaatkan ilmu tersebut untuk Islam ataupun tidak.

Akhir kalam, yang membezakan antara kita hanyalah takwa kepada Allah!

 
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response.
0 Responses
Related Posts with Thumbnails