Ukhuwwah seindah suria

Bismillah…

Dengan nama Allah saya memulakan patah bicara. Seperti biasa, setiap kali saya menulis blog, biasanya sumber idea saya tidak akan lari daripada mengulas tentang situasi sebenar yang berlaku di sekeliling saya setiap hari. Dan pada tulisan kali ini, saya berasa lebih tertarik untuk membicarakan tentang formula untuk membaiki hubungan kita sesama saudara seIslam. Dan setelah saya membuat beberapa ‘kajian’ secara tak formal dan berdasarkan pemerhatian mendalam yang tak disengajakan, saya dapati antara salah satu cara untuk mengeratkan hubungan kita sesama muslim adalah dengan memberikan hadiah. Ya. Hadiah. Tapi bagaimana??

Ibnu Abbas R.A berkata:

“Nabi S.A.W. itu adalah sedermawan-dermawan umat manusia dalam memberikan kebaikan….. - …….. Dan apabila ditemui oleh Jibril A.S., maka keadaan Baginda adalah lebih dermawan dalam memberikan kebaikan daripada lajunya angin yang berhembus kencang”

Riwayat Bukhari.

Sesungguhnya hadiah ataupun dengan memberikan sesuatu kepada saudara kita yang lain mampu mengeratkan lagi hubungan kita sesama muslim. Seperti mana sabda Rasulullah S.A.W. lagi di dalam hadisnya:

“Berilah hadiah, (nescaya) kamu akan berkasih sayang”

Jelas dapat lihat di sini bahawa Rasulullah sendiri secara kita tidak sedar telah memberikan formula untuk mengeratkan hubungan sesama manusia dengan menggalakkan umatnya supaya saling memberi hadiah antara satu sama lain, kerana kelak pasti kita akan saling berkasih sayang pula. Bagi saya sendiri secara peribadi pun, apalah sangat wang kalau nak dibandingkan dengan ukhuwwah sejati yang sangat SUKAR dicari pada zaman mutakhir ni. Wang bila-bila masa sahaja boleh dicari dan diraih, tapi ukhuwwah yang tulen dan sejati hanya akan datang jika kita benar-benar mahukannya.

Mungkin ada sahabat-sahabat yang berkata “kita sendiri pun xdak duit nak makan, tambah pulak dengan biasiswa tak masuk-masuk lagi, ni pulak nak bagi hadiah kat orang lain”. Memang. Saya faham. Sebab saya sendiri pun pernah dan sedang mengalami situasi yang sama seperti sahabat-sahabat sekalian. Ok lah. Tak mengapa. Bab ni kita tolak tepi dulu. Sebab ia merupakan sesuatu yang agak ‘sukar’ jika dilihat dari sudut status kita sebagai seorang pelajar. Baiklah, kita guna cara lain. Kalau kita tak boleh bagi hadiah secara ‘hakiki’, paling kurang kita masih boleh bagi hadiah yang walaupun dianggap sebagai sesuatu yang ‘tidak hakiki’, namun ia tetap sesuatu yang bermanfaat untuk saudara kita dan langsung tidak menggunakan duit. Nak tahu macam mana?

Sabda Rasulullah S.A.W:

“Kamu tidak akan masuk Syurga, sehingga kamu beriman. Dan kamu tidak (dianggap sebagai) beriman, sehingga kamu saling berkasih sayang. Mahukah kamu aku tunjukkan sesuatu, yang apabila kamu melakukannya kamu akan saling berkasih sayang? Sebarkanlah SALAM di antara kamu.”

Riwayat Muslim.

salam pemula perkenalan...

Nah. Rupa-rupanya masih ada cara lain untuk kita mengeratkan hubungan kita sesama muslim. Iaitu dengan cara memberikan salam. Langsung tidak menggunakan wang dan tenaga yang berlebihan. Tidak rugi malah untung seuntung-untungnya. Sebab kita bukan sekadar melakukan sunnah yang sangat dituntut oleh Rasulullah, malah dalam masa yang sama, kita mampu memperbaiki hubungan kita sesama saudara Islam. Kita nak masuk syurga, maka kita mesti beriman. Dan kita hanya dianggap sebagai orang yang beriman setelah kita saling berkasih-sayang. Dan untuk melaksanakan tujuan itu, menyebarkan salam adalah sesuatu yang paling optimis yang dicadangkan oleh Rasulullah S.A.W. Sesuai untuk semua peringkat umur tanpa mengira status pelajar ataupun tidak. Jadi apa yang kita tunggu lagi? Tawaran hebat sebelum datangnya kiamat.

Tambahan pula, dengan memberikan salam juga, kita sebenarnya telah menghadiahkan sebuah doa kepada saudara kita tersebut iaitu dengan mendoakan kesejahteraan dan keselamatan kepada si dia. Oleh sebab itulah pemberian salam mampu menjadi alternatif lain yang boleh kita lakukan selepas daripada kita tidak mampu untuk memberikan hadiah secara hakiki. Mungkin masih ramai yang tidak tahu bahawa dengan mendoakan sesuatu yang baik kepada sahabat kita yang lain juga, sebenarnya secara tidak langsung kita juga telah mendoakan untuk diri kita sendiri.

Sabda Rasulullah S.A.W:

“Tidaklah daripada kalangan hamba Allah yang muslim, apabila dia mendoakan sesuatu kepada saudaranya dalam keadaan ghaib (yakni tidak diketahui saudaranya bahawa dia telah mendoakan kepada saudaranya itu), melainkan akan didoakan semula malaikat (kepadanya): Dan kepada kamu juga seumpama (yang kamu doakan) itu”

Riwayat Muslim.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,

Ada antara rakan-rakan saya yang mengadu kepada saya, bahawa dia malu untuk memberikan salam kepada salah seorang rakannya yang lain. Dengan alasan, mereka ini sedang bergaduh. Dan masing-masing ego untuk memulakan perkataan maaf. Ya, saya faham. Saya pun pernah berada dalam keadaan seperti mereka. Dan saya pada ketika itu pun malu untuk memulakan kembali persahabatan yang telah retak itu dengan memberikan salam. Namun tiba juga pada satu hari, saya cuba memberanikan diri saya dengan memberikan salam kepada si dia dan tanpa ragu-ragu dia boleh menjawab balik salam saya. Tengok, kan taktik dah mengena!

Tapi yang tak bestnya, selepas sahaja saya bagi kaunseling dengan pengalaman saya ini, rakan saya menjawab balik dengan berkata situasi saya pada masa itu adalah situasi yang senang. Dan pergaduhan saya pada masa itu juga tidaklah terlalu teruk kalau nak dibandingkan dengan pergaduhan yang beliau alami sekarang. Tambah pulak, beliau kata kebanyakan orang yang bergaduh ni selalunya akan berfikir, kalau bagi salam nanti, dia tak jawab jugak salam aku. Baik tak payah bagi langsung. Senang. Tak membazir air liur.

Alahai, susah jugak ada orang macam ni. Macamlah diorang tak tahu air liur ni takkan habis.

Jadi, bagi membantu rakan saya ini, saya pun melakukan sekali lagi pemerhatian mendalam yang tak disengajakan, dan saya pun akhirnya mendapat satu lagi formula untuk membaiki balik keretakan hubungan seperti yang dialami oleh rakan saya ini selain daripada memberi hadiah dan mengucapkan salam. Bagaimana caranya? Sebarkanlah SENYUMAN di antara kamu.

Seperti mana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis panjang, apabila Rasulullah S.A.W. ditanya oleh salah seorang sahabat yang mafhumnya:

“Ya Rasulullah, apa yang perlu kami lakukan supaya kami dapat memberikan sedekah sentiasa setiap masa?

Antaranya Rasulullah menjawab: Dan SENYUMAN kamu kepada saudara kamu adalah sedekah, dan kamu membuang batu dan duri daripada jalan yang dilalui orang adalah sedekah, dan kamu menunjukkan jalan kepada orang yang sesat juga adalah sedekah bagi kamu”

Ini dia formulanya. Kalau pun kita malu untuk memberikan salam kepada si dia, takkanlah nak hadiahkan satu senyuman pun kita masih malu lagi? Cukuplah daripada memberikan alasan-alasan yang tidak relevan. Bak kata pepatah, nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Dan jika kita review kembali formula saya pada permulaan blog ini, hadiah merupakan cara yang paling baik untuk memperbaiki hubungan kita sesama muslim. Manakala Rasulullah sendiri bersabda bahawa senyuman itu adalah sedekah, jadi secara automatik senyuman juga dengan sendirinya mampu memperbaiki sesuatu hubungan itu sehebat keberkesanan pemberian hadiah dan salam. Cuma yang tinggal adalah diri kita sendiri yang mempraktikkannya!

Akhir taip, jagalah ukhuwwah antara kita sebaik yang mungkin kerana nilai ukhuwwah itu terlalu tinggi dan tersangat indah bagi siapa yang tahu menjaganya.

kat Palace of Justice...

indahnya ukhuwwah...

 
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response.
0 Responses
Related Posts with Thumbnails