Ada apa dengan CEMERLANG?

Bismillah…

Seringkali kita terdengar perkatan cemerlang meniti di bibir2 pelajar samada yang masih bergelar sebagai pelajar sekolah mahupun yang sudah memegang status mahasiswa. Iyalah, kecemerlangan biasanya menjadi sebagai batu pengukur terhadap kepandaian seseorang pelajar itu. Cubalah tanya siapa yang tak mahu cemerlang. Saya yakin semua orang akan menggeleng. Tapi kadang-kadang saya sendiri terfikir apakah itu definisi kecemerlangan yang sebenar. Apakah dengan mendapatkan deretan A di dalam SPM dikatakan sebagai pelajar yang pandai? Ataupun mendapat pointer yang tinggi dalam peperiksaan Universiti sudah dikira sebagai cemerlang?

Bagi saya, secara peribadi, kejayaan yang dikecapi didalam peperiksaan bukanlah kecemerlangan yang sebenar-benarnya. Saya masih teringat ketika mendapat pointer yang sedikit baik pada semester lepas. Ketika itu boleh dikatakan saya sedikit bangga dengan keputusan yang agak cemerlang itu. Tapi segalanya berubah apabila secara tiba-tiba satu pertanyaan timbul di mulut seorang rakan saya yang juga mendapat keputusan yang baik. Dia bertanya saya apakah yang ada pada pointer yang tinggi ini? Adakah ia mampu menjadi penjamin di hadapan Allah untuk kita memasuki syurgaNya kelak? Saya sedikit tersentak. Terasa seperti soalan tersebut mengenai tepat ke hidung saya. Sudah tentu jawapannya tidak sesekali. Kerana apa yang menjadi penjamin kita pada hari esok adalah iman dan keikhlasan di dalam hati.

Itulah kita pada zaman sekarang. Termasuklah saya. Terlalu mudah melupakan diri saat mendapat sesuatu nikmat. Sedang kita sendiri mengakui yang segala nikmat itu daripada Allah, tetapi apabila bertandangnya nikmat yang cuma sejemput itu, kita sudah mula melupakan siapa yang sebenarnya memberikan kejayaan tersebut kepada kita. Memang tidak dinafikan, kejayaan itu adalah hasil titik peluh kita selama ini. Namun beristighfarlah sahabat-sahabat sekalian, kerana segala-gala yang berlaku di atas dunia ni adalah dalam perancangan Allah S.W.T. Kita takkan dapat mengecapi kecemerlangan kalau bukan Dia yang memberi. Takkan menjadi pandai kalau bukan Dia yang menetapkan sebegitu. Langsung tak mampu. Kerana kita insan yang lemah yang hanya diciptakan semata-mata untuk beribadat kepadaNya.

Cuba renungkan firman Allah ini;

“Di mana pun kamu berada, kematian pasti akan mendapatkan kamu. Sekalipun kamu berada di dalam tembok yang tinggi dan kukuh. (Dan perhatikanlah orang2 munafik) saat mereka mendapatkan kebaikan, mereka mengatakan ‘ini dari sisi Allah’. Dan jika mereka ditimpa sesuatu keburukan mereka mengatakan ‘ini dari engkau (Muhammad)’. (maka) Katakanlah; segala-galanya datang dari sisi Allah. Maka mengapa orang-orang (munafik) itu hampir tidak memahami perbicaraan (sedikit pun)?”

(An-Nisa’ : 78)

adakah hanya sekadar ini yang kita mahu?

Sahabat-sahabat,

Masih belum terlambat untuk kita semua muhasabah dan memikirkan kembali satu persatu nikmat yang diberikan oleh Allah. Semuanya. Harta, pangkat, rupa, warna kulit, keturunan, bangsa, kebijaksanaan, termasuk keistimewaan2 yang hanya diberikan oleh Allah kepada kita dan tidak kepada orang lain. Sesungguhnya nikmat Allah itu tersangat banyak sehinggakan saya sendiri tidak mampu menaip patah-patah perkataan ini kalau bukan dengan izin daripada Allah S.W.T. Sengaja saya menggunakan perkataan ‘tersangat’ untuk menggambarkan sekali lagi bahawa segala-gala yang berlaku di dunia ini semuanya adalah nikmat daripada Allah. Hatta walau sesuatu yang buruk pun, seharusnya dikira sebagai nikmat. Nikmat? Ya. Nikmatnya menghadapi ujian Allah.

Firman Allah;

“Dan Dia telah memberikan kepadamu segala apa yang kamu mohonkan kepadaNya. Dan jika kamu menghitung segala nikmat Allah, nescaya kamu langsung tidak akan dapat menghitungnya. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).”

(Ibrahim : 34)

Justeru, kecemerlangan yang hakiki adalah apabila kita dapat mengaplikasikan kejayaan yang dikecapi sebagai satu wasilah untuk kita lebih akrab kepada Allah S.W.T. Jangan biarkan kejayaan itu menjadi satu istidraj kepada kita yang menyebabkan kita lebih kufur pada Tuhan Maha Kuasa. Gunakanlah ia dengan sebaik-baiknya demi agama tercinta. Yang paling penting, tuntutlah ilmu ikhlas semata-mata kerana Allah, bukan kerana ingin mendapat sijil dan nama. Sering saya membayangkan andai semua manusia itu menyedari bahawa Allah sentiasa melihat dan menguji mereka setiap saat. Semestinya tidak akan ada masalah, tidak akan ada kekacauan, tidak akan ada kesombongan. Tapi apakan daya, Allah lebih mengetahui. Dia jua yang menetapkan segala-galanya. Akhir keyboard, bersyukurlah sentiasa.

apa guna cemerlang di dunia, tetapi gagal di akhirat?

~life 4 Allah~

 
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response.
0 Responses
Related Posts with Thumbnails