Archives

Cinta? Antara dua...

Bismillah…

Jangan mudah melafaz kasih,

Kasih itu pada siapa?

Jangan mudah melafaz sayang,

Sayang itu untuk siapa?

Jangan mudah melafaz cinta,

Cinta itu pada Yang Esa,

Cintakan bunga, bungakan layu,

Cintakan manusia kan pergi…

Best lirik lagu ni! Itu perkataan pertama yang keluar dari mulut saya apabila mendengar lagu ni. Lagu ‘Keroncong Kasih Sayang’ daripada kumpulan UNIC cukup menggamit jiwa berbanding nasyid-nasyid lain yang pernah saya dengar. Maksudnya yang agak mendalam, tapi mudah untuk difahami secara kasar. Lantas menarik tangan saya untuk menaip beberapa patah kata dalam blog ini. Cinta? Iya, cinta. Siapa boleh bagitau saya maksud cinta yang sebenar? Sebab saya tak tahu apa itu cinta. Ada orang kata cinta ini buta. Tak mengenal usia, bangsa dan negara. Erm.. Betul ke? Mungkin ada betul juga cinta itu ‘buta’. Sebab itulah kita tengok bila orang bercinta, suka meraba-raba. Ada pula orang kata cinta ni maksudnya couple. Ditambahnya pula diorang kata cinta ni fitrah manusia biasa. Jadi sesiapa yang tak couple ni dikira bukan manusia normal lah. Boleh ke macam tu? Ada patut? Tak patut.

Tapi saya agak setuju dengan pendapat kedua tu. Cinta ni fitrah. Cinta ni couple. Laa… Kenapa macam tu pulak? Betul lah. Allah memang menciptakan perasaan cinta sebagai salah satu daripada fitrah insani. Namun ingat, segala-galanya adalah untuk Allah. Perasaan cinta yang diberikan kepada kita tu adalah semata-mata untuk dicurahkan kepada Allah Ta’ala. Couple yang dibenarkan adalah ‘couple’ dengan Allah Ta’ala. Kalau kita perhatikan bila orang bercouple ni biasanya takkan lepas tangan punya. Pergi mana-mana pun pasti dengan couplenya. Buat apa-apa pun asyik teringat kat couple je. Bila rindu, contact couple. Ada apa-apa masalah, mengadu kat couple. Bila gembira bagitau couple, bila sedih pun curahkan kat couple jugak. Segala-galanya couple. Tapi, alangkah bagusnya apabila couple yang dimaksudkan itu adalah Allah Ta’ala!

Tapi bro, aku tak mampu tahan lagi perasaan cinta aku ni. Aku sangat cintakan dia. Sehari aku tak tengok dia, boleh gila agaknya. Lebih kurang macam tu lah bila salah seorang rakan saya mengadu kepada saya. Ya. Saya faham. Kadang-kadang saya sendiri tidak mampu menepis perasaan itu. Nafsu yang diciptakan oleh Allah untuk kita bukan calang-calang nafsu. Dia mampu mengawal kita walaupun dalam keadaan sedar. Kadang-kadang saya terfikir jugak, apa penawar terbaik untuk situasi macam ni. Sedangkan saya sendiri pun bermain dengan perasaan sendiri, dia boleh tanya saya pulak. Yang paling penting, kembalikan lah perasaan kita tu kepada Allah. Mungkin cara yang terbaik adalah dengan memikirkan bahawa si gadis itu juga adalah seorang insan yang diCIPTAkan oleh Allah Yang Esa. Dia cantik, dia baik, dia pandai, segala-galanya dia memilikinya. Dia perfect! Tapi ingat, kesempurnaan itu hanya layak kepada Allah. Tiada yang lebih perfect selain Dia. Kalau betul gadis itu cantik sekalipun, Allah jua yang ciptakannya. Kalau gadis itu baik sekalipun, Allah jua yang ciptakannya. Segala-galanya adalah daripada Allah. Jadi kenapa susah-susahkan fikiran kita memikirkan tentang dia. Kan lagi baik kalau kita fikirkan saja siapakah Pencipta dia. Yang menjadikan dia secantik begitu, sebaik begitu, se’perfect’ begitu.

The greatest love is Allah the Only One!

Saya tahu, kalam amat mudah untuk dituturkan. Tapi sekurang-kurangnya kita mencuba. Saya sendiri sedang mencuba apa yang telah saya pertuturkan. Memang saya tak nafikan, kat USIM sendiri, ramai gadis yang cantik2, baik2, pandai2, pendek kata memang perfect lah. Sekali dia melintas, tak terlepas pandang saya dibuatnya. Nafsu2. Apa yang perlu dibuat? Itulah. Kadang-kadang saya terfikir, adakah saya ni seorang yang fasik kepada Pencipta segala? Semakin lama di USIM, saya rasa semakin jauh daripada Allah. Bukan saya nak salahkan USIM, tapi itu lah hakikatnya. Solat selalu terlewat. Kalau semasa di Maahad Tahfiz, terlewat solat umpama satu kesalahan yang besar, sekarang bukan lagi. Apa yang mampu saya buat adalah mengadu kepada Allah tentang kelemahan hambaNya ini. Sesungguhnya memang saya tak mampu. Langsung tiada kekuatan. Saya tidak bisa menghadapi semua ini. Al-Quran saya rasakan semakin menjauh daripada saya. Semakin saya kejar, semakin cepat ia menjauhkan diri. Sehingga pada suatu hari saya terduduk lemah. Menangisi nasib diri. Apa lagi yang saya mampu buat.

Namun saya tahu, Allah sedang melihat bagaimana hambaNya menggunakan akal fikiran yang dianugerahkanNya untuk menghadapi semua ini. Ya! Saya yakin yang Allah sedang melihat saya. Sesungguhnya Dia tahu apa yang dihadapi oleh saya. Cuma Dia sengaja membiarkan saya tercari-cari jalan untuk menghadapi ujianNya. Ya Allah. Aku memohon kekuatan daripadaMu. Sesungguhnya aku langsung tiada kemampuan melainkan dengan kekuatan daripadaMu.

Kepada rakan saya, memang saya akui cinta kepada manusia yang hadir di dalam jiwa ini memang sukar sekali ditangkis, namun ianya tidak mustahil dengan izin daripada Allah. Kalaulah kita sentiasa ingat bahawa cinta Allah itu langsung tak mengecewakan. CintaNya sentiasa membawa kebahagiaan pada hati perasaan dan kehidupan kita. Dalam hidup ini, kita ada Allah untuk dicintai, yang menanti dengan penuh setia terhadap hambaNya. Cuma kita yang tak kenal cintaNya itu.Padahal pintu taubatNya sentiasa terbuka luas untuk dikunjungi. Tekadlah kita dalam mencari cinta agung itu. Moga kita sama-sama kekal mendakap cinta Pencipta perasaan CINTA.

nak cinta ke cita-cita??

Semakin jauh ku dariMu,

Semakin dekat pula Kau menghampiri daku,

Oh tuhan Yang Maha Pengasih,

Siapalah diriku di pandanganMu…

Semakin cuba ku dekati,

Semakin kuat pula kau mendugai aku,

Oh Tuhan Yang Maha Sempurna,

Kerdilnya diriku dihadapanMu…

Oh Tuhan…

Ada apa dengan CEMERLANG?

Bismillah…

Seringkali kita terdengar perkatan cemerlang meniti di bibir2 pelajar samada yang masih bergelar sebagai pelajar sekolah mahupun yang sudah memegang status mahasiswa. Iyalah, kecemerlangan biasanya menjadi sebagai batu pengukur terhadap kepandaian seseorang pelajar itu. Cubalah tanya siapa yang tak mahu cemerlang. Saya yakin semua orang akan menggeleng. Tapi kadang-kadang saya sendiri terfikir apakah itu definisi kecemerlangan yang sebenar. Apakah dengan mendapatkan deretan A di dalam SPM dikatakan sebagai pelajar yang pandai? Ataupun mendapat pointer yang tinggi dalam peperiksaan Universiti sudah dikira sebagai cemerlang?

Bagi saya, secara peribadi, kejayaan yang dikecapi didalam peperiksaan bukanlah kecemerlangan yang sebenar-benarnya. Saya masih teringat ketika mendapat pointer yang sedikit baik pada semester lepas. Ketika itu boleh dikatakan saya sedikit bangga dengan keputusan yang agak cemerlang itu. Tapi segalanya berubah apabila secara tiba-tiba satu pertanyaan timbul di mulut seorang rakan saya yang juga mendapat keputusan yang baik. Dia bertanya saya apakah yang ada pada pointer yang tinggi ini? Adakah ia mampu menjadi penjamin di hadapan Allah untuk kita memasuki syurgaNya kelak? Saya sedikit tersentak. Terasa seperti soalan tersebut mengenai tepat ke hidung saya. Sudah tentu jawapannya tidak sesekali. Kerana apa yang menjadi penjamin kita pada hari esok adalah iman dan keikhlasan di dalam hati.

Itulah kita pada zaman sekarang. Termasuklah saya. Terlalu mudah melupakan diri saat mendapat sesuatu nikmat. Sedang kita sendiri mengakui yang segala nikmat itu daripada Allah, tetapi apabila bertandangnya nikmat yang cuma sejemput itu, kita sudah mula melupakan siapa yang sebenarnya memberikan kejayaan tersebut kepada kita. Memang tidak dinafikan, kejayaan itu adalah hasil titik peluh kita selama ini. Namun beristighfarlah sahabat-sahabat sekalian, kerana segala-gala yang berlaku di atas dunia ni adalah dalam perancangan Allah S.W.T. Kita takkan dapat mengecapi kecemerlangan kalau bukan Dia yang memberi. Takkan menjadi pandai kalau bukan Dia yang menetapkan sebegitu. Langsung tak mampu. Kerana kita insan yang lemah yang hanya diciptakan semata-mata untuk beribadat kepadaNya.

Cuba renungkan firman Allah ini;

“Di mana pun kamu berada, kematian pasti akan mendapatkan kamu. Sekalipun kamu berada di dalam tembok yang tinggi dan kukuh. (Dan perhatikanlah orang2 munafik) saat mereka mendapatkan kebaikan, mereka mengatakan ‘ini dari sisi Allah’. Dan jika mereka ditimpa sesuatu keburukan mereka mengatakan ‘ini dari engkau (Muhammad)’. (maka) Katakanlah; segala-galanya datang dari sisi Allah. Maka mengapa orang-orang (munafik) itu hampir tidak memahami perbicaraan (sedikit pun)?”

(An-Nisa’ : 78)

adakah hanya sekadar ini yang kita mahu?

Sahabat-sahabat,

Masih belum terlambat untuk kita semua muhasabah dan memikirkan kembali satu persatu nikmat yang diberikan oleh Allah. Semuanya. Harta, pangkat, rupa, warna kulit, keturunan, bangsa, kebijaksanaan, termasuk keistimewaan2 yang hanya diberikan oleh Allah kepada kita dan tidak kepada orang lain. Sesungguhnya nikmat Allah itu tersangat banyak sehinggakan saya sendiri tidak mampu menaip patah-patah perkataan ini kalau bukan dengan izin daripada Allah S.W.T. Sengaja saya menggunakan perkataan ‘tersangat’ untuk menggambarkan sekali lagi bahawa segala-gala yang berlaku di dunia ini semuanya adalah nikmat daripada Allah. Hatta walau sesuatu yang buruk pun, seharusnya dikira sebagai nikmat. Nikmat? Ya. Nikmatnya menghadapi ujian Allah.

Firman Allah;

“Dan Dia telah memberikan kepadamu segala apa yang kamu mohonkan kepadaNya. Dan jika kamu menghitung segala nikmat Allah, nescaya kamu langsung tidak akan dapat menghitungnya. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).”

(Ibrahim : 34)

Justeru, kecemerlangan yang hakiki adalah apabila kita dapat mengaplikasikan kejayaan yang dikecapi sebagai satu wasilah untuk kita lebih akrab kepada Allah S.W.T. Jangan biarkan kejayaan itu menjadi satu istidraj kepada kita yang menyebabkan kita lebih kufur pada Tuhan Maha Kuasa. Gunakanlah ia dengan sebaik-baiknya demi agama tercinta. Yang paling penting, tuntutlah ilmu ikhlas semata-mata kerana Allah, bukan kerana ingin mendapat sijil dan nama. Sering saya membayangkan andai semua manusia itu menyedari bahawa Allah sentiasa melihat dan menguji mereka setiap saat. Semestinya tidak akan ada masalah, tidak akan ada kekacauan, tidak akan ada kesombongan. Tapi apakan daya, Allah lebih mengetahui. Dia jua yang menetapkan segala-galanya. Akhir keyboard, bersyukurlah sentiasa.

apa guna cemerlang di dunia, tetapi gagal di akhirat?

~life 4 Allah~

Innal Hamdalillah...

Bismillah..

Alhamdulillah, masih ada peluang untuk saya mengarang artikel kedua buat blog saya ni. Oh ya, sepatutnya saya kena terangkan jugak serba sedikit tentang blog saya ni.. Erm.. Secara ringkasnya, nama pena saya yang telah digunakan selama ni, de-zircon menjadi main domain blog saya. Dan saya memilih tajuk blog ni 'Serak Naluri' sebagai menggambarkan situasi zaman sekarang, ramai dalam kalangan sahabat2 kita yang amat susah untuk menerima kebenaran yang selalu diterangkan kepada mereka. Perkataan 'serak' diambil melambangkan keletihan berdakwah menggunakan mulut, maka saya menggunakan pendekatan blog sebagai wasilah alternatif kepada lidah.

Manakala perkataan 'naluri' pula diambil bersempena hadis Rasulullah S.A.W yang menyatakan mafhumnya; "Ketahuilah, dalam diri manusia itu ada seketul daging, jika baiknya ia, baiklah seluruhnya (badan), dan jika buruknya ia, maka buruklah seluruhnya. Ketahuilah, itulah HATI..."

Pada hakikatnya, dakwah sesama manusia bermula dari hati. Dan hati yang suci adalah hati yang mampu membezakan antara hak, syubhat dan batil, juga hati yang mampu mengenali antara hikmah dan qudwah. Selagi mana hati kita berada didalam satu situasi di mana kita meragui tentang kebenaran, selagi itulah hati kita di cop sebagai hati yang BELUM suci. Dalam Islam sendiri sebenarnya telah mengajar tentang cara2 membersihkan hati kita semua. Antaranya ialah membersihkan harta kita daripada segala kekotoran yang ditegah oleh syara' seperti rasuah, fraud, penipuan, riba dan sebagainya. Seperti yang kita semua sudah sedia tahu, sedekah merupakan salah satu pendekatan yang paling baik untuk menyucikan hati masing2.

Kebanyakan masyarakat pada hari ini terlalu sibuk mengejar duniawi walaupun mereka sendiri sebenarnya mengakui tentang hakikat sebenar ukhrawi. Maka cara yang paling baik bagi situasi ini adalah dengan mengikis perasaan kita terhadap dunia, ataupun dengan nama lainnya WANG dengan membanyakkan pemberian sedekah jariah. Actually, dengan memberikan sedekah jariah, kita telah melakukan dua perkara yang besar di sisi Islam. Bukan sekadar menyucikan hati daripada berlebih-lebihan menyintai dunia, malah secara tidak langsung kita sebenarnya telah melabur dalam satu pelaburan jangka panjang yang sangat menguntungkan seperti mana yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W;

"Apabila mati seorang anak Adam, terputuslah segala amalannya di dunia kecuali tiga perkara; sedekah yang berterusan (jariah), ilmu yang bermanfaat, dan doa anak-anak yang soleh"...

Tapi, perlu jugak diingat, Islam langsung tidak pernah menyuruh umatnya meninggalkan dunia sepenuhnya. Cuma apa yang ingin di highlight kan di sini adalah sikap kita yang berLEBIH-LEBIHAN terhadap dunia. Cukuplah sekadar dengan kita mengamalkan sikap Qanaah (sentiasa berasa cukup dengan apa yang ada). Allah Taala ada berfirman dalam kitabNya;

"dan janganlah kamu melupakan bahagian kamu dari dunia"...

Jelas menunjukkan bahawa Islam amat menggalakkan supaya kita sentiasa seimbang dari segenap segi, rohani mahupun jasmani, duniawi mahupun ukhrawi. Cuma yang perlu dikawal adalah sikap kita sendiri.

Last word, berhati-hatilah tentang HATI...~

Halal tapi HARAM...

Bismillah...

Hari ini nak pakai baju ape ye..? Ini soalan yang biasa kita tanyakan kpd diri kita samada ketika mahu ke kuliah, ke pasaraya, mahupun bekerja. Perkara ini adalah normal kerana sebagai manusia, kita pasti mempunyai citarasa2 tertentu dalam menonjolkan penampilan kita. Tapi adakah kita sebagai Muslim mengambil kira tentang etika pemakaian yang telah diagriskan oleh syara'..?

Actually, semuanya kita kena ambil kira, termasuk soal fiqah dan syariat. Sebab pakaian yang kita pakai sangat kuat terikat dengan keyakinan dan iman dalam hati kita. Malah, pakaian adalah lambang keimanan dan lambang terhadap identiti Islam itu sendiri.

Sebabnya Allah sudah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik) maka dengan ini mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi."

(al-Ahzab: 59)

Rupanya soal pakaian ada disebut kod dan etikanya dan panduan ini mesti diikuti semua Muslimah. Berpakaian tak boleh ikut suka kita saja sebab kita hamba Tuhan. Sebagai hamba kena ikut tauke dan kalau tidak ikut juga dah kira lawan tauke.

Saya sebenarnya ingin menyentuh sedikit tentang pakaian remaja yang nampaknya sudah tidak mengikut kod dan etika al-Quran. Sahabat-sahabat remaja di luar sana sudah tidak menghiraukan lagi halal haram dalam pemakaian, asalkan mereka nampak bergaya, menarik, selesa 'kononnya' dan mengikut gaya fesyen terkini. Selain pakaian yang jelas menjolok mata, ramai juga di kalangan remaja kita yang berpakaian '2H' iaitu 'Halal' tetapi 'Haram'. Ini amat ketara jika kita perhatikan di sekeliling kita, ramai remaja yang bertudung. Apabila sekali lihat, memang nampak mereka menutup aurat.

Bagaimanapun, jika diperhatikan kali kedua, ramai di kalangan mereka yang berpakaian ketat dan tidak kurang yang berlengan pendek. Pakaian lengan 'three quarter' (tiga perempat) paling glamor dan popular di kalangan remaja bertudung masa kini.

Ingatlah sabda Nabi s.a.w:

"Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya."

Riwayat Bukhari dan Muslim.

Suatu ketika dahulu, pakaian sedemikian begitu mengaibkan dan memalukan, namun kini seolah-olah ia menjadi pakaian yang dialu-alukan. Mana tidaknya, pakaian sedemikian banyak bersangkutan dan berampaian di gedung pakaian di negara kita ini. Pelbagai fesyen baru hadir bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Terdapat juga pakaian bersaiz kecil sehingga tidak keterlaluan jika kita katakan sekarang begitu sukar untuk membezakan antara pakaian kanak-kanak dan remaja.

Sebilangan daripada remaja kita juga kadang-kadang lupa atau tidak mengenali jantina mereka sendiri sehingga si lelaki memakai pakaian perempuan, sementara perempuan pula sebaliknya. Saya harap sahabat-sahabat semua berhentilah segera daripada kebiasaan ini kerana perbuatan ini sangat dilaknat oleh Allah. Ini jelas dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki."

Ada pula yang berkata: "Berpakaian menutup aurat dan bertudung, nanti tak cantik."

Siapa kata tak cantik kalau bertudung? Bahkan bagi saya mereka yang bertudung ni lebih kelihatan manis, beradab, bersih dan ada gaya tersendiri berbanding yang tak bertudung, sekali gus membezakan antara Muslimah dan bukan Islam.

Ada juga yang berkata, rambut ni kan 'mahkota', jadi kenalah tunjuk. Isy, kata-kata itu nampak cam terbalik pulak sebab kalau iya pun rambut itu mahkota, jadi kenalah simpan baik-baik.

Tapi kenapa kena simpan pulak? Yalah. Cuba kita tengok raja dan permaisuri pun hanya pakai mahkota di tempat tertentu saja, tak dibawanya ke pasar, kelab malam, padang dan lain-lain tempat, malah di tempat tertentu dan orang tertentu sahaja. Jadi tunjuklah mahkota itu pada suami tercinta sahaja, bukannya dikongsi dengan orang lain.

Ada pula yang berkata 'ikut fesyen moden dengan seksi dan terdedah senang pikat lelaki dan dapat kekasih.'

Aduhai wanita, janganlah rendahkan martabat anda semua sebab bimbang nanti lelaki2 yang hanya tahu memuaskan nafsu akan mempermainkan anda. Kerap berlaku kes 'dapat manis sepah dibuang' iaitu jadi bahan seronok saja. Kalau dapat kahwin pun tak lama putus di tengah jalan. Rumah tangga yang dibina akhirnya tinggal tangga sahaja. Ingatlah, pakaian ahli syurga ialah dengan menutup aurat.

Seindah hiasan adalah wanita solehah...~

Related Posts with Thumbnails